Syarat-Syarat Keanggotaan

Takrif Anggota

Anggota-anggota Koperasi ini terdiri daripada sekalian mereka yang turut dalam permohonan untuk mendaftarkan Koperasi ini dan mereka yang diterima menjadi anggota selepas pendaftaran mengikut Peraturan dan Undang-undang Kecil ini dari semasa ke semasa.

Kelayakan menjadi anggota

1) Keanggotaan Koperasi ini terbuka kepada semua orang melayu (Bumiputera) dan koperasi-koperasi berdaftar dalam kawasan operasi Koperasi.

 

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut sila hubungi Bahagian Hal Ehwal Anggota :

Telefon
Faks
+ 03 9285 2155
+ 03 9285 5606

2) Menurut Seksyen 26 dan 27 Akta, seseorang yang ingin menjadi anggota Koperasi ini mestilah :

  • warganegara Malaysia
  • telah mencapai umur lapan belas tahun
  • bermastautin atau bekerja atau mempunyai tanah dalam kawasan operasi Koperasi ini ; dan
  • bukan seorang yang terhadapnya masih berkuatkuasa suatu sabitan bagi kesalahan boleh daftar, atau tidak upaya dari segi mental, atau bankrap yang belum dilepaskan, atau pernah dibuang daripada keanggotaan mana-mana koperasi dalam tempoh satu tahun.

Permohonan menjadi anggota

Permohonan menjadi anggota hendaklah dibuat dalam borang rasmi Koperasi ini dan dialamatkan kepada setiausaha.

Fee Masuk

1) Tiap-tiap permohonan menjadi anggota hendaklah disertakan dengan fee masuk seperti berikut:

  • sepuluh ringgit bagi anggota individu; dan
  • lima puluh ringgit bagi koperasi berdaftar

Fee masuk itu menurut perenggan 50(a) Akta akan dikembalikan kepada pemohon jika permohonannya ditolak oleh Lembaga.

2) Bekas anggota yang memohon untuk menjadi anggota semula dikenakan fee masuk seperti berikut:

  • lima puluh ringgit bagi anggota individu; dan
  • satu ratus ringgit bagi koperasi berdaftar

3) Penama atau wakil yang sah menurut seksyen 24 Akta kepada anggota yang mati, jika layak menurut undang-undang kecil 10 dan memohon untuk menjadi anggota dalam masa tiga bulan selepas kematian anggota itu, tidak dikenakan fee masuk.

4) Semua fee masuk hendaklah dikreditkan ke dalam akaun untung rugi.

Ikrar Anggota

1) Menurut subperaturan 10(1) Peraturan, seseorang individu dan sesuatu koperasi berdaftar melalui wakilnya yang memohon untuk menjadi anggota hendaklah diminta menandatangani suatu ikrar bahawa dia akan terikat dengan Undang-undang Kecil ini dan aturan-aturan aktiviti yang sedia ada dan apa-apa pindaan kepada Undang-undang Kecil dan aturan-aturan tersebut, yang dibuat dengan sah semasa tempoh keanggotaannya. Mana-mana pemohon yang enggan menandatangani ikrar tersebut tidak boleh diterima menjadi anggota.

2) Menurut subperaturan 10(2) Peraturan, seseorang individu dan sesuatu telah menjadi anggota dengan sebab turut sama dalam membuat permohonan bagi pendaftaran Koperasi ini dikehendaki menandatangani ikrar yang serupa dalam masa empat puluh hari selepas diterima perakuan pendaftaran Koperasi.

Penerimaan Menjadi Anggota

1) Permohonan menjadi anggota hendaklah dipertimbangkan oleh Lembaga dalam mesyuaratnya yang boleh menerima atau menolak sesuatu permohonan itu tanpa menyatakan sebab-sebabnya. Seseorang individu dan sesuatu koperasi berdaftar melalui wakilnya yang diterima menjadi anggota hendaklah diberitahu secara bertulis dan tidak lewat daripada tiga puluh hari selepas penerimaannya itu.

2) Seseorang individu dan sesuatu koperasi berdaftar yang permohonan menjadi anggotanya ditolak oleh Lembaga bolehlah merayu kepada mesyuarat agung yang akan datang dan jika tiga perempat daripada perwakilan di dalam mesyuarat agung itu bersetuju menerimanya maka hendaklah ianya diterima menjadi anggota.

Perolehan Hak, Kewajipan dan Liabilti Anggota

Menurut seksyen 28 Akta, tiap-tiap anggota yang telah menjelaskan bayaran penuh syer seperti berikut:

  • bagi anggota individu syer berjumlah lima puluh ringgit; dan
  • bagi Koperasi anggota syer berjumlah satu ribu ringgit

bolehlah melaksanakan segala hak, kewajipan dan liabiliti sebagai anggota sebagaimana yang terkandung di dalam Undang-undang Kecil ini.

Pemberian Undang-undang Kecil

Tiap-tiap anggota hendaklah diberi percuma satu naskah Undang-undang Kecil ini. Naskah tambahan akan dikenakan bayaran sebanyak sepuluh ringgit tiap-tiap satu.

Penama

1) Tiap-tiap anggota individu yang bukan Muslim hendaklah, dengan mengisi satu borang rasmi Koperasi ini, di hadapan sekurang-kurangnya dua saksi yang mengakusaksikan perkara yang sama atau dengan suatu akuan yang dibuat sewajarnya, menamakan seorang atau lebih daripada seorang sebagai penama yang kepadanya syer atau kepentingan anggota itu atau nilai syer atau kepentingan itu atau apa-apa wang lain yang disebut dalam seksyen 24 Akta yang kena dibayar kepada anggota itu boleh, dengan kematian anggota itu, dipindahkan atau dibayar menurut seksyen itu, dan anggota itu boleh dengan cara yang sama dari semasa ke semasa membatalkan atau menukar penamaan tersebut. Dalam hal-hal sedemikian, nilai syer atau kepentingan anggota itu hendaklah sama dengan jumlah wang yang sebenarnya dibayar oleh anggota itu untuk memperolehi syer atau kepentingan tersebut itu sebagaimana yang dinyatakan di bawah subperaturan 7(1) Peraturan.

2) Tiap-tiap anggota individu Muslim hendaklah dengan cara yang sama seperti diperuntukkan dalam fasal (1) undang-undang kecil ini menamakan seorang wasi dari kalangan waris-waris terdekat yang mutlak tassarrufnya untuk menerima setelah dia mati wang-wang yang terhak baginya di dalam Koperasi ini bagi diagihkan kepada waris-waris yang berhak mengikut hukum Islam dan hendaklah memberitahu Koperasi akan perubahan-perubahan, jika ada, mengenai penamaan itu.

3) Tertakluk kepada undang-undang kecil 10, seseorang penama atau wasi bagi maksud subperaturan 7(3) Peraturan, bolehlah diterima menjadi anggota dan penama atau wasi yang demikian itu hendaklah dianggap telah menjadi anggota mulai tarikh anggota yang digantikannya itu diterima sebagai anggota.

Liabiliti

1) Liabiliti anggota terhadap hutang-hutang Koperasi ini sekiranya pendaftaran Koperasi ini dibatalkan hendaklah terhad kepada jumlah syer yang dimilikinya.

2) Liabiliti bekas anggota terhadap hutang-hutang Koperasi yang ada pada tarikh keanggotaannya terhenti hendaklah tidak berterusan lebih daripada dua tahun dari tarikh itu seperti yang diperuntukkan di bawah subseksyen 35(1) Akta.

3) Harta pusaka seseorang anggota individu yang telah mati atau koperasi anggota yang dibatalkan pendaftarannya hendaklah menurut subseksyen 35(2) Akta, tidak bertanggungan bagi hutang-hutang Koperasi yang ada pada tarikh kematiannya atau pembatalannya itu lebih daripada dua tahun dari tarikh itu.

Hilang Kelayakan sebagai Anggota

Menurut peruntukan seksyen-seksyen 26, 27 dan 29 Akta, seseorang anggota individu akan hilang kelayakannya sebagai anggota jika dalam masa menjadi anggota dia---

  • hilang kewarganegaraan; atau
  • hilang keupayaan dari segi mental; atau
  • diisytiharkan bankrap; atau
  • disabitkan atas sesuatu kesalahan boleh daftar; atau
  • dibuang daripada keanggotaan mana-mana koperasi dan suatu tempoh selama satu tahun belum lagi berlalu dari tarikh pembuangan itu; atau
  • tidak lagi bermastautin atau mempunyai tanah atau bekerja dalam kawasan operasi Koperasi; atau
  • telah menjadi anggota koperasi berdaftar lain yang tujuan utamanya ialah untuk memberikan pinjaman kepada anggotanya.

Bagi koperasi anggota, kelayakannya sebagai anggota akan hilang jika pendaftarannya sebagai koperasiberdaftar dibatalkan.

Terhenti menjadi Anggota

Keanggotaan anggota terhenti atas sebab-sebab di bawah ini, mengikut mana yang berkenaan :

  • mati bagi anggota individu; atau
  • pendaftaran koperasi anggota dibatalkan; atau
  • menarik diri mengikut undang-undang kecil 21; atau
  • dibuang mengikut undang-undang kecil 22; atau
  • mungkir membayar harga syer yang dijanjikan tiga bulan berturut-turut dengan tiada kebenaran Lembaga.

Lembaga hendaklah menyingkir anggota yang---

  • didapati membuat ikrar palsu di bawah undang-undang kecil 13; atau
  • menurut peraturan 11 Peraturan, hilang kelayakan sebagai anggota di bawah undang-undang kecil 19; atau
  • terhenti keanggotaannya di bawah perenggan (d) dan (e) fasal (1) undang-undang kecil ini.

Menarik Diri

1) Mana-mana anggota boleh menarik diri daripada Koperasi ini dengan memberi notis bertulis dua belas bulan terlebih dahulu kepada Lembaga. Atas sebab-sebab yang munasabah, Lembaga boleh membenarkan penarikan diri dalam masa yang singkat.

2) Melainkan tarikh lebih awal dipersetujui oleh Lembaga, maka keanggotaan anggota itu hendaklah terhenti pada hari genap tempoh notisnya.

3) Dalam tempoh notis itu, anggota yang demikian hendaklah masih mempunyai hak, kewajipan dan liabiliti sebagai seorang anggota.

Pembuangan oleh Mesyuarat Agung Perwakilan

1) Jika anggota melanggar mana-mana peruntukan Undang-undang Kecil ini atau melakukan mana-mana satu daripada perbuatan-perbuatan berikut :

  • merujukkan pertikaian atau aduan kepada mana-mana orang selain daripada Ketua Pendaftar atau tribunal; atau
  • membuat kenyataan dalam akhbar atau mana-mana media massa mengenai Koperasi ini tanpa kebenaran Lembaga; atau
  • membuat tuduhan palsu ke atas anggota Lembaga atau anggota-anggota atau bekas anggota atau pekerja Koperasi ini sehingga menyebabkan anggota-anggota berpecah-belah dan berpuak-puak; atau
  • memburuk-burukkan Koperasi sehingga mencemarkan nama baik dan menjejaskan urusan perniagaan Koperasi ini; atau
  • bertindak di luar etika mesyuarat agung sehingga menjejaskan perjalanan mesyuarat itu,

dia hendaklah dianggap telah bertindak dengan cara yang memudaratkan kepentingan Koperasi ini dan bolehlah digantung keanggotaannya.

2) Keputusan untuk menggantung keanggotaan mana-mana anggota boleh dibuat oleh Lembaga hanya setelah anggota yang berkenaan itu diberitahu secara bertulis mengenai tuduhan yang jelas terhadapnya dan diberi peluang untuk menyatakan sebab-sebab mengapa keanggotaannya tidak boleh digantung.

3) Tiap-tiap kes penggantungan hendaklah dibentangkan kepada mesyuarat agung perwakilan yang terawal dan dijadikan sebagai agenda pertama, dan anggota yang digantung keanggotaannya itu hendaklah diberitahu secara bertulis tidak kurang daripada lima belas hari sebelum diadakan mesyuarat, tentang tarikh, masa, tempat dan haknya untuk membela diri akan dijalankan di mesyuarat itu.

4) Sebelum mengesahkan atau mengetepikan penggantungan itu, mesyuarat agung perwakilan hendaklah mendengar penjelasan anggota yang digantung oleh Lembaga itu, jika dia memilih untuk memberi penjelasan, dan keanggotaannya tidak lucut melainkan jika mesyuarat agung perwakilan dengan undi dua pertiga daripada anggota yang hadir membuat keputusan membuangnya.

5) Sehingga perkara penggantungan keanggotaannya diputuskan oleh mesyuarat agung perwakilan, anggota yang berkenaan itu tidak mempunyai apa-apa hak dan kewajipan sebagai anggota melainkan hak menyuarakan hal penggantungan keanggotaannya itu di dalam mesyuarat agung.

Penyelesaian Wang Anggota

1) Jika mana-mana anggota terhenti daripada menjadi anggota Koperasi ini mengikut undang-undang kecil 20, semua wang kepunyaannya melainkan nilai syer miliknya setelah ditolak hutangnya dengan Koperasi ini hendaklah---

  • sekiranya dibuang, dikembalikan kepada anggota individu tersebut dengan segera tanpa apa-apa syarat; atau
  • sekiranya seseorang anggota individu itu hilang keupayaan dari segi mental dan tiada pentadbir bagi pusakanya atau tiada pemegang amanah bagi hartanya yang telah dilantik, dikembalikan kepada sesiapa yang difikirkan wajar untuk menerima bagi pihaknya sebaik sahaja penerima itu ditentukan; atau
  • sekiranya seseorang anggota individu itu mati, dikembalikan kepada penamanya atau warisnya atau wakilnya yang sah mengikut seksyen 24 Akta. Disyaratkan bahawa bagi seseorang anggota Muslim, pengembalian tidak boleh dibuat melainkan kepada wakilnya yang sah atau kepada Pegawai Pentadbirn Pusaka jika selepas enam bulan dari tarikh kematiannya, wakilnya yang sah tidak dapat dipastikan atau telah tidak dilantik; atau
  • sekiranya seseorang anggota individu itu menarik diri, dikembalikan kepadanya selepas akhir tempoh notis; atau
  • sekiranya seseorang anggota individu tidak lagi bermastautin atau mempunyai tanah atau bekerja dalam kawasan operasi, dikembalikan kepadanya dengan segera.

2) Penyelesaian mengenai syar-syer anggota yang terhenti keanggotaannya sebagaimana yang ditentukan dalam akaun teraudit terakhir Koperasi ini hendaklah tertakluk kepada peruntukan undang-undang kecil 56 dan 57.

3) Sekiranya pendaftaran sesuatu koperasi anggota dibatalkan, semua wang kepunyaannya melainkan nilai syer miliknya setelah ditolak hutangnya dengan Koperasi ini hendaklah diserahkan kepada pelikuidasinya yang dilantik oleh Ketua Pendaftar di bawah seksyen 74 Akta.