Perutusan Pengerusi KSB

Para anggota SHAMELIN yang dihormati sekalian.

Alhamdulillah, syukur dengan izin Allah SWT, SHAMELIN dapat terus mengharungi kesukaran dan dalam kesukaran tersebut dapat menyelesaikan sebahagian tuntutan anggota serta lain-lain tuntutan demi untuk meneruskan aktiviti SHAMELIN walaupun keuntungan tidak bersama SHAMELIN pada tahun 2024.

Alhamdulillah dalam kesukaran tersebut Allah SWT memudahkan SHAMELIN di mana kesemua unit-unit kediaman milik SHAMELIN dan sebahagian besar unit-unit pejabat serta komersial telah dapat disewakan yang mana dengan penyewaan tersebut telah mendatangkan pendapatan kepada SHAMELIN. Selain itu perniagaan skim pembiayaan peribadi Shamelincash-i juga telah menunjukkan prestasi yang baik dan berpotensi besar untuk terus dikembangkan bagi menjana lebihan pendapatan kepada SHAMELIN dalam jangka masa panjang.

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT, pembangunan 78 unit rumah teres setingkat di Jalan Mawar, Mukim Kapar, Klang telah memperolehi Sijil Penyiapan dan Pematuhan (“CCC”) pada awal Jun tahun ini dan berdoa SHAMELIN akan memperolehi pulangan sebanyak RM4.0 juta ke atas projek usahasama tersebut juga pada tahun ini.

Dengan perolehan tersebut SHAMELIN akan berusaha untuk melunaskan sebahagian tuntutan anggota serta meneruskan aktivitinya yang dengan izin Allah SWT akan dapat dikongsi bersama anggotaanggota SHAMELIN yang setia, memahami dan begitu sabar serta sentiasa mendoakan kejayaan demi kejayaan untuk SHAMELIN. InsyaAllah.

PRESTASI KEWANGAN

Pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, SHAMELIN masih menunjukkan peningkatan kerugian bersih sebanyak RM0.226 juta berbanding kerugian sebanyak RM0.116 juta dalam tahun 2023. Antara penyebab kerugian ini adalah kerana tiada perolehan dari projek pembangunan di Kapar, Klang yang dianggarkan diterima pada tahun 2024 sebanyak RM1.000 juta.

Namun terdapat sedikit peningkatan pendapatan dari RM4.780 juta pada tahun 2023 kepada RM4.971 juta pada tahun 2024. Punca utama pendapatan adalah melalui perniagaan skim kemudahan kredit, penyewaan unit-unit bangunan pejabat, komersial dan kediaman di Taman Shamelin Perkasa serta yuran pengurusan subsidiari termasuk aktiviti pelaburan dan lain-lain pendapatan.

Bagi tahun 2024, Kumpulan Wang Anggota Koperasi menurun kepada RM65.777 juta berbanding RM67.791 juta pada tahun 2023 dan Kumpulan Wang Anggota Kumpulan juga menurun dari RM67.093 juta kepada RM65.074 juta.

Usaha-usaha yang berterusan akan dijalankan oleh SHAMELIN bagi meningkatkan lagi prestasi yang semakin baik ini dengan menggiatkan lagi perniagaan kemudahan kredit serta mempelbagaikan perniagaan yang dapat memberikan keuntungan dengan risiko yang rendah.

ANGGOTA DAN SYER

Bagi tahun 2024, jumlah modal syer anggota yang terkumpul berakhir 31 Disember 2024 dari seramai 20,235 orang ialah sebanyak RM35.828 juta. Jumlah ini termasuk syer bonus dan akaun simpanan khas anggota.

Pada tahun 2024, jumlah anggota yang telah memohon menarik diri dan meninggal dunia adalah seramai 233 orang yang melibatkan pemulangan jumlah syer sebanyak RM249,427.00. Manfaat khairat kematian sebanyak RM12,000.00 telah di bayar kepada 6 waris anggota yang telah meninggal dunia. Namun masih lagi terdapat bayaran tertunggak disebabkan kekangan kewangan bagaimanapun, SHAMELIN LAPORAN TAHUNAN 2024 I KOPERASI SHAMELIN BERHAD akan terus berusaha untuk melunaskan bayaran-bayaran tertunggak tersebut.

Untuk Tabung Pendidikan, sejumlah RM12,200.00 telah dibelanjakan untuk sumbangan pendidikan sepanjang tahun 2024. Daripada jumlah ini sebanyak RM800.00 disumbangkan kepada seramai 4 orang anak-anak anggota di bawah kategori hadiah cemerlang dalam peperiksaan SPM, SMA, STPM, STAM, Matrikulasi dan Program Asasi.

Di bawah kategori insentif pelajaran pula, sebanyak RM11,400.00 disumbangkan kepada seramai 26 orang anak-anak anggota yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi. Manakala bagi Tabung Kebajikan sejumlah RM600.00 telah dibelanjakan kepada 2 orang anggota yang ditimpa musibah.

PROSPEK DAN CABARAN

Dalam menongkah arus masa kini serta cabaran masa akan datang sambil melihat kepada keadaan semasa ekonomi dan sosial negara ke belakang ini, kita seharusnya memanjatkan kesyukuran kerana SHAMELIN masih mampu berdiri.

Dalam menghadapi cabaran dan prospek masa akan datang, beberapa perancangan telah dibuat dengan mengambil kira pelan jangka masa pendek dan juga panjang.

SHAMELIN juga sentiasa memantau ke atas projek usahasama dengan syarikat, Irama Makmur Development Sdn Bhd yang membangunkan tanah milik SHAMELIN seluas 3.2 ekar di Kulim, Kedah dengan pembinaan 28 unit kedai yang bakal memberi pulangan sebanyak RM3.000 juta dalam tempoh 4 tahun. Projek ini insyaAllah akandimulakan pada awal tahun 2025 ini tertakluk kepada kelulusan.

SHAMELIN juga telah menjadi penyedia perkhidmatan takaful melalui Takaful Ikhlas Sdn Bhd yang menawarkan pelbagai perlindungan takaful antaranya ialah takaful motor, takaful bangunan, takaful perniagaan dan takaful hayat.

Perkhidmatan takaful ini adalah sebahagian usaha SHAMELIN untuk melibatkan anggota dalam perniagaan yang dijalankan dengan hasrat untuk memberikan pulangan yang baik kepada anggota serta SHAMELIN dan seterusnya memperkasakan aktiviti kawasan.

SHAMELIN yakin, insyaAllah perniagaan skim pembiayaan peribadi Shamelincash-i yang dijalankan ini mampu menjana pendapatan yang berterusan dalam jangka masa panjang memandangkan SHAMELIN telah berjaya memperolehi dana pembiayaan dari Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad dan Co-opbank Pertama Malaysia Berhad untuk menjayakan perniagaan ini.

Selain itu SHAMELIN juga terbabit dalam bidang perkhidmatan penulisan wasiat bersama MyAngkasa Amanah Berhad yang dijangka mampu memberi pulangan tunai yang baik. SHAMELIN juga masih berusaha untuk terus melibatkan diri dalam bidang hartanah yang dapat memberi pulangan yang baik untuk masa depan SHAMELIN.

PENUTUP KATA

Adalah menjadi impian, supaya SHAMELIN akan terus kukuh dan berkembang, membolehkannya memainkan peranan yang bermakna ke arah kemajuan negara dan gerakan koperasi selain memberi pulangan kepada anggota-anggotanya.

Dengan kewujudan situasi persefahaman dan kerjasama yang baik dengan institusi-institusi kewangan yang dapat membantu dan menyokong kegiatan-kegiatan perniagaan yang sedang dijalankan itu dan disulami dengan budaya kerja tanpa sempadan daripada Lembaga dan kakitangan serta diiringi dengan doa, penglibatan serta sokongan para anggota ke atas produk-produk atau perniagaan-perniagaan yang dijalankan selain dari bentuk syer, tenaga dan buah fikiran, insyaAllah impian murni ini akan menjadi kenyataan.

Doa dan sokongan para anggota serta komitmen dan dedikasi Lembaga SHAMELIN dalam menjayakan matlamat SHAMELIN amatlah dihargai dan diucapkan terima kasih. Ucapan penghargaan dan terima kasih juga turut dirakamkan kepada institusi-institusi kewangan, jabatan-jabatan kerajaan, kontraktor, pembekal dan individu-individu yang telah turut sama membantu dalam menjayakan SHAMELIN.