Perutusan Pengerusi KSB


Para anggota SHAMELIN yang dihormati sekalian.
Alhamdulillah, syukur dengan izin Allah SWT, SHAMELIN dapat terus mengharungi kesukaran demi untuk meneruskan aktiviti SHAMELIN. Pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 SHAMELIN telah mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM120,098.00 berbanding kerugian yang dialami dalam tahun 2024 sebanyak RM226,364.00.
Alhamdulillah dalam kesukaran tersebut Allah SWT memudahkan SHAMELIN di mana kesemua unit-unit kediaman milik SHAMELIN dan sebahagian besar unit-unit pejabat serta komersial telah dapat disewakan yang mana dengan penyewaan tersebut telah mendatangkan pendapatan kepada SHAMELIN. Selain itu perniagaan skim pembiayaan peribadi Shamelincash-i juga telah menunjukkan prestasi yang baik dan berpotensi besar untuk terus dikembangkan bagi menjana lebihan pendapatan kepada SHAMELIN dalam jangka masa panjang.
Dengan perolehan tersebut SHAMELIN akan berusaha untuk melunaskan sebahagian tuntutan anggota serta meneruskan aktivitinya yang dengan izin Allah SWT akan dapat dikongsi bersama anggota-anggota SHAMELIN yang setia, memahami dan begitu sabar serta sentiasa mendoakan kejayaan demi kejayaan untuk SHAMELIN. InsyaAllah.
PRESTASI KEWANGAN
Keuntungan sebelum cukai yang dicapai oleh SHAMELIN berakhir 31 Disember 2025 sebanyak RM0.120 juta itu adalah melalui perolehan pendapatan sebanyak RM5.575 juta setelah mengambil kira jumlah perbelanjaan sebanyak RM5.455 juta. Punca utama pendapatan adalah melalui perniagaan skim kemudahan kredit, penyewaan unit-unit bangunan pejabat, komersial dan kediaman di Taman Shamelin Perkasa serta yuran pengurusan subsidiari termasuk aktiviti pelaburan dan lain-lain pendapatan.
Bagi tahun 2025, Kumpulan Wang Anggota Koperasi menurun kepada RM65.586 juta berbanding RM65.777 juta pada tahun 2024 dan Kumpulan Wang Anggota Kumpulan juga menurun dari RM65.402 juta kepada RM65.125 juta.
Usaha-usaha yang berterusan akan dijalankan oleh SHAMELIN bagi meningkatkan lagi prestasi yang semakin baik ini dengan menggiatkan lagi perniagaan kemudahan kredit serta mempelbagaikan perniagaan yang dapat memberikan keuntungan dengan risiko yang rendah.
ANGGOTA DAN SYER
Bagi tahun 2025, jumlah modal syer anggota yang terkumpul berakhir 31 Disember 2025 dari seramai 20,208 orang ialah sebanyak RM35.466 juta. Jumlah ini termasuk syer bonus dan akaun simpanan khas anggota.
Pada tahun 2025, jumlah anggota yang telah memohon menarik diri dan meninggal dunia adalah seramai 92 orang yang melibatkan pemulangan jumlah syer sebanyak RM81,313.00. Manfaat khairat kematian sebanyak RM43,500.00 telah di bayar kepada 23 waris anggota yang telah meninggal dunia. Namun masih lagi terdapat bayaran tertunggak disebabkan kekangan kewangan bagaimanapun, SHAMELIN akan terus berusaha untuk melunaskan bayaran-bayaran tertunggak tersebut.
Untuk Tabung Pendidikan, sejumlah RM5,400.00 telah dibelanjakan untuk sumbangan pendidikan sepanjang tahun 2025. Daripada jumlah ini sebanyak RM1,500.00 disumbangkan kepada seramai 7 orang anak-anak anggota di bawah kategori hadiah cemerlang dalam peperiksaan SPM, SMA, STPM, STAM, Matrikulasi dan Program Asasi.
Di bawah kategori insentif pelajaran pula, sebanyak RM3,900.00 disumbangkan kepada seramai 8 orang anak-anak anggota yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi. Manakala bagi Tabung Kebajikan sejumlah RM1,900.00 telah dibelanjakan kepada 7 orang anggota yang ditimpa musibah.
PROSPEK DAN CABARAN
Dalam menongkah arus masa kini serta cabaran masa akan datang sambil melihat kepada keadaan semasa ekonomi dan sosial negara ke belakang ini, kita seharusnya memanjatkan kesyukuran kerana SHAMELIN masih mampu berdiri.
Dalam menghadapi cabaran dan prospek masa akan datang, beberapa perancangan telah dibuat dengan mengambil kira pelan jangka masa pendek
dan juga panjang.
SHAMELIN juga sentiasa memantau ke atas projek usahasama dengan syarikat, Irama Makmur Development Sdn Bhd yang membangunkan tanah milik SHAMELIN seluas 3.2 ekar di Kulim, Kedah dengan pembinaan 28 unit kedai yang bakal memberi pulangan sebanyak RM3.000 juta dalam tempoh 4 tahun. Kemajuan terkini telah mencapai 100% bagi kerja tanah mengikut pelan kerja tanah yang diluluskan. Tapak projek masih berada
dalam menunggu pemampatan tanah sebelum kerja-kerja pembangunan dapat dimulakan. InsyaAllah sekiranya tiada masalah dalam tempoh dua (2) tahun iaitu bermula pada tahun 2027 bayaran pertama berjumlah RM500,000.00 akan diperolehi.
SHAMELIN juga telah menjadi penyedia perkhidmatan takaful melalui Takaful Ikhlas Sdn Bhd yang menawarkan pelbagai perlindungan takaful antaranya ialah takaful motor, takaful bangunan, takaful perniagaan dan takaful hayat.
Perkhidmatan takaful ini adalah sebahagian usaha SHAMELIN untuk melibatkan anggota dalam perniagaan yang dijalankan dengan hasrat untuk memberikan pulangan yang baik kepada anggota serta SHAMELIN dan seterusnya memperkasakan aktiviti kawasan.
SHAMELIN yakin, insyaAllah perniagaan skim pembiayaan peribadi Shamelin cash-i yang dijalankan ini mampu menjana pendapatan yang berterusan dalam jangka masa panjang memandangkan SHAMELIN telah berjaya memperolehi dana pembiayaan dari Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad dan Co-opbank Pertama Malaysia Berhad untuk menjayakan perniagaan ini.
SHAMELIN juga telah menjalinkan kerjasama strategik dengan MyAngkasa Amanah Berhad yang menyediakan perkhidmatan penulisan wasiat kepada anggota Koperasi serta masyarakat di samping mewujudkan sumber pendapatan baharu kepada Koperasi melalui aktiviti pemasaran.
PENUTUP KATA
Adalah menjadi impian, supaya SHAMELIN akan terus kukuh dan berkembang, membolehkannya memainkan peranan yang bermakna ke arah kemajuan negara dan gerakan koperasi selain memberi pulangan kepada anggota-anggotanya.
Dengan kewujudan situasi persefahaman dan kerjasama yang baik dengan institusi-institusi kewangan yang dapat membantu dan menyokong kegiatan-kegiatan perniagaan yang sedang dijalankan itu dan disulami dengan budaya kerja tanpa sempadan daripada Lembaga dan kakitangan serta diiringi dengan doa, penglibatan serta sokongan para anggota ke atas produk-produk atau perniagaanperniagaan yang dijalankan selain dari bentuk syer, tenaga dan buah fikiran, insyaAllah impian murni ini akan menjadi kenyataan.
Doa dan sokongan para anggota serta komitmen dan dedikasi Lembaga SHAMELIN dalam menjayakan matlamat SHAMELIN amatlah dihargai dan diucapkan terima kasih. Ucapan penghargaan dan terima kasih juga turut dirakamkan kepada institusi-institusi kewangan, jabatan-jabatan kerajaan, kontraktor, pembekal dan individu-individu yang telahturut sama membantu dalam menjayakan SHAMELIN.