Tabung Pendidikan

1. Nama
(1) Aturan–aturan ini adalah dinamakan Aturan-aturan Tabung Pendidikan Koperasi Shamelin Berhad.
(2) Aturan-aturan ini diwujudkan di bawah undang-undang kecil 46(2)(x) Koperasi ini dan dikuatkuasakan selepas persetujuan Mesyuarat Agung Koperasi ini.
2. Tafsiran
Dalam Aturan-aturan ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain :
- ‘Akta’ maknanya Akta Koperasi 1993 dan pindaan-pindaan yang dibuat kepadanya dari semasa ke semasa;
- ‘Anggota’ termasuklah seseorang yang turut sama dalam permohonan pendaftaran Koperasi ini dan seseorang yang diterima menjadi anggota mengikut Peraturan dan Undang-undang Kecil ini selepas pendaftaran sebagaimana yang ditakrifkan di bawah seksyen 2 Akta;
- ‘Tabung’ ertinya Tabung Pendidikan iaitu satu tabung yang dibentuk untuk pemberian wang sagu hati atau sumbangan kepada anggota-anggota atau anak-anak anggota yang layak;
- ‘aturan’ maknanya Aturan-aturan Tabung Pendidikan Koperasi;
- ‘Koperasi’ maknanya Koperasi Shamelin Berhad;
- ‘Lembaga’ maknanya Lembaga Koperasi Shamelin Berhad;
- ‘Peraturan’ maknanya Peraturan-peraturan Koperasi yang dibuat di bawah Akta dan pindaan-pindaan yang dibuat kepadanya dari semasa ke semasa;
- ‘Sipenerima ‘maknanya anggota yang menerima wang sagu hati atau sumbangan dari Tabung ini;
- ‘Pengerusi Eksekutif’ maknanya Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia; dan
- ‘Undang-undang Kecil’ maknanya Undang-undang Kecil Koperasi Shamelin Berhad dan termasuklah sesuatu pindaan berdaftar kepada Undang-undang Kecil ini.
Perkataan-perkataan yang bererti tunggal atau jamak, masing-masing hendaklah meliputi tunggal dan jamak, dan perkataan yang bererti jenis laki-laki hendaklah meliputi jenis perempuan.
3. Tujuan
Tujuan Tabung ini ialah untuk memberi hadiah dan sumbangan kepada anggota-anggota atau anak-anak anggota yang layak.
4. Jenis-Jenis
- Hadiah cemerlang akademik dalam peperiksaan :
- Sijil Pelajaran Malaysia (“SPM”);
- Sijil Menengah Agama (“SMA”);
- Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (“STPM”);
- Sijil Tinggi Agama Malaysia (“STAM”);
- Matrikulasi;
- Program Asasi; dan
- A-Level
- Sumbangan insentif pelajaran kepada anggota-anggota atau anak-anak anggota yang berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat institusi-institusi pengajian tinggi awam (“IPTA”) di dalam atau institusi-institusi pengajian tinggi di luar negara yang diiktiraf oleh Kerajaan.
- Anugerah Istimewa dikhaskan kepada anggota-anggota atau anak-anak anggota yang telah diijazahkan menghafaz 30 juzuk al-Quran dari institusi-institusi tahfiz al-Quran yang diiktiraf oleh Kerajaan.
5. Jumlah Pemberian
| Hadiah Cemerlang Akademik | Sumbangan Insentif Pelajaran | Anugerah Istimewa |
|---|---|---|
|
SPM dan SMA – RM100.00 STPM dan STAM – RM100.00 MATRIKULASI – RM100.00 Program Asasi – RM100.00 A-Level – RM100.00 |
Diploma – RM200.00 Sarjana Muda – RM200.00 |
Hafaz 30 Juzuk Al-Quran – RM500.00 |
6. Kelayakan
| (1) SPM dan SMA | : | Sekurang-kurangnya mendapat pangkat A atau Mumtaz dalam mana-mana enam (6) mata pelajaran. |
| (2) STPM dan STAM | : | Mendapat sekurang-kurangnya Purata Nilai Gred Keseluruhan (“PNGK”) 3.5 dan ke atas atau Mumtaz dalam mana-mana tujuh (7) mata pelajaran. |
| (3) Matrikulasi | : | Mendapat PNGK 3.5 dan ke atas. |
| (4) Program Asasi | : | Mendapat PNGK 3.5 dan ke atas. |
| (5) A-Level | : | Lulus sekurang-kurangnya A atau B dalam 3 mata pelajaran. |
| (6) Sumbangan Insentif Pelajaran |
: | Sumbangan insentif pelajaran ini hanya akan dikeluarkan kepada anggota-anggota atau anak-anak anggota yang mengikuti pengajian di peringkat Diploma, Sarjana Muda di IPTA sahaja dan institusi-institusi pengajian tinggi luar negara yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia. |
| (7) Hafaz 30 Juzuk al-Quran | : | Mendapat pengijazahan menghafaz 30 juzuk al-Quran dari institusi-institusi yang diiktiraf oleh Kerajaan sahaja. |
7. Syarat-Syarat Permohonan
(1) Semua permohonan hendaklah dibuat melalui surat yang dimajukan kepada Jawatankuasa Pentadbiran dan Keanggotaan yang disertakan bersama surat pengesahan dan sokongan daripada Pengerusi Jawatankuasa Kawasan.
(2) (i) Tarikh tutup permohonan bagi Hadiah Cemerlang Akademik dalam peperiksaan SPM, SMA, STPM dan STAM dikira dalam tempoh tiga (3) bulan dari tarikh keputusan itu diumumkan atau dikeluarkan.
(ii) Tarikh tutup permohonan bagi Hadiah Cemerlang Akademik dalam peperiksaan Matrikulasi dan Program Asasi dan A-Level dikira dalam tempoh tiga (3) bulan dari tarikh keputusan itu diumum atau dikeluarkan.
(iii) Tarikh tutup permohonan bagi Sumbangan Insentif Pelajaran dikira dalam tempoh tiga (3) bulan dari tarikh surat tawaran, bukannya dari tarikh pendaftaran masuk ke IPTA dan institusi-institusi pengajian tinggi luar negara yang diiktiraf oleh Kerajaan.
(iv) Tarikh tutup permohonan Anugerah Istimewa ini dikira dalam tempoh tiga (3) bulan dari tarikh pengijazahan hafaz 30 juzuk al-Quran dari institusi-institusi tahfiz al-Quran yang diiktiraf oleh Kerajaan sahaja.
(3) Sekiranya ibu dan bapa menjadi anggota dan anak layak mendapatkan Hadiah Cemerlang Akademik, Sumbangan Insentif Pelajaran atau Anugerah Istimewa, hanya salah seorang dari anggota berkenaan sahaja dibenarkan untuk membuat permohonan tersebut.
(4) Sekiranya ibu, bapa dan anak menjadi anggota dan layak mendapatkan Hadiah Cemerlang Akademik, Sumbangan Insentif Pelajaran dan Anugerah Istimewa, kesemua mereka adalah dibenarkan untuk membuat permohonan tersebut .
(5) Permohonan bagi mendapatkan Sumbangan Insentif Pelajaran atau Anugerah Istimewa ini dibuka kepada semua anak-anak anggota yang masih di bawah tanggungan anggota iaitu di bawah umur dua puluh lima (25) tahun dan belum berkahwin.
(6) Pembayaran tertakluk kepada pada kedudukan kewangan SHAMELIN dan baki Kumpulan Tabung Pendidikan.
8. Pelaksanaan
- Kesemua permohonan yang disahkan termasuk surat sokongan daripada Pengerusi atau Jawatankuasa Kawasan hendaklah dihantar terus kepada Jawatankuasa Pentadbiran & Keanggotaan untuk diluluskan dan seterusnya disahkan oleh Lembaga.
- Sumbangan Tabung ini akan dibayar terus kepada penerima-penerima setelah mendapat kelulusan.
9. Pindaan Kepada Aturan-aturan
- Aturan-aturan ini hendaklah dibaca bersama-sama dengan Undang-undang Kecil Koperasi dan Akta serta Peraturan-peraturan.
- Lembaga Koperasi ini, dengan persetujuan Mesyuarat Agung Koperasi ini bolehlah meminda peruntukan dalam aturan ini apabila difikirkan mustahak untuk memudahkan perjalanan dan pengurusan Tabung ini.
